Kisah Cinta Hatib dan Ummi Qais

Sekali peristiwa, diceritakan bahawa ada seorang sahabat yang bernama
Hatib telah mencintai seorang gadis rupawan yang bergelar Ummi Qais.
Sebagai kebiasaannya orang yang bercinta, Hatib berusaha agar si gadis
itu dapat dimilikinya. Dia pun meminang Ummi Qais sewaktu mereka
sama-sama berada di Makkah lagi, akan tetapi, oleh kerana kemalangan
nasibnya, gadis itu telah menolak peminangan Hatib.

Kemudian Ummi Qais
pun berhijrahlah pula bersama-sama orang-orang Islam yang berhijrah ke
Madinah.

Apabila berita itu sampai ke pengetahuan Hatib, dia merasa amat
berdukacita. Oleh kerana terlalu merindukan Ummi Qais, Hatib lalu
mengambil keputusan untuk berhijrah menjejaki langkah Ummi Qais ke
Madinah, dengan harapan agar dia dapat memikatnya dan memujuknya
semula sewaktu di Madinah nanti.

Jadi nyatalah sudah bahwa hijrahnya Hatib itu bukanlah semata-mata
kerana tujuan asal berhijrah ke sana; iaitu untuk mencari tempat
perlindungan bagi agamanya. Tetapi di sebalik itu, ada maksud yang
lain yang lebih diutamakannya; iaitu moga-moga ia dapat menukar
keputusan Ummi Qais yang lalu dan moga-moga Ummi Qais akan menerimanya
pada kali ini, sebab hatinya sangat sayang dan mencintai Ummi Qais.

Cerita hijrahnya Si Hatib sepenuhnya telah disampaikan kepada
pengetahuan Rasulullah s.a.w. Oleh kerana itulah, maka Hadis ini telah
disabdakan, iaitu:

“Dan barangsiapa hijrahnya kerana dunia (sebab-sebab keduniaan) yang
ia ingin memperolehinya, ataupun kerana seorang perempuan yang ia
ingin menikahinya maka hijrahnya itu adalah kepada apa yang ia
berhijrah kepadanya.” [Bukhari & Muslim]

Maksudnya: Tiadalah ia mendapat pahala apa pun dari hijrah yang telah
ia lakukan itu. Sebab orang lain berhijrah membawa dirinya dan
agamanya agar terselamat dan fitnah kekufuran yang mengancamnya di
negeri Makkah, semata-mata kerana mentaati perintah Allah dan
RasulNya. Akan tetapi maksud utama hijrah Hatib ada yang lain; iaitu
keinginan hati untuk menawan Si gadis kecintaannya, sebab itu
Rasulullah SAW telah mencelanya secara indirect (tidak langsung)
dengan menyabdakan Hadis tersebut di atas tadi.

Bagi kita kaum Muslimin yang mengikuti cerita Hatib tadi, janganlah
dianggap celaan itu hanya ditujukan untuk Hatib seorang saja. Bukanlah
itu yang dimaksudkan. Akan tetapi di sebalik peristiwa Hatib itu ada
pengajaran lain yang harus kita perhatikan, supaya kita tidak menjadi
seperti Hatib pula, sehingga celaan itu akan menimpa kita sama.

Dalam menjalankan perintah-perintah agama, janganlah hendaknya kita
menyaingi ibadat-ibadat kita itu dengan kerja-kerja lain yang
berkaitan dengan keduniaan. Misalnya ibadat Haji. Ada orang yang
menyaingi ibadat Hajinya dengan kerja-kerja keduniaan, seperti
berniaga sewaktu dalam perjalanan ke Haji, atau dalam musim Haji,
kerana Keuntungannya berlipat-ganda ketika itu. Ataupun orang itu
sengaja menawarkan dirinya untuk menguruskan hal-ehwal orang-orang
Haji tentang keperluan-keperluannya dalam perjalanan atau sewaktu
mengerjakan Haji itu, sebab seolah-olah dia bekerja dengan bakal-bakal
Haji itu, dan mungkin sekali semua wang pelayarannya pun dikutip dan
berasal dari bakal-bakal Haji itu samada sebagai komisen ataupun
faedah pekerjaannya, yang kalau tiada kerana itu,tiadalah ia akan
berangkat sama untuk menunaikan Hajinya. Amalan yang serupa ini tentu
sekali tiada sepenuhnya tertumpu pada Pekerjaan ibadat terhadap Allah.
Oleh kerana itu dikuatiri tidak ada gunanya dan tidak ada pahalanya
dari Allah s.w.t.

Lain-lain misalan dalam perkara yang sama banyak sekali, dan semuanya
adalah bergantung kepada niat masing-masing pelakunya. Maka hendaklah
kita sentiasa waspada dalam hal ini, supaya ibadat-ibadat kita tiada
dikongsi dengan amalan-amalan keduniaan, yang nyata sekali ditegah
oleb agama, seperti dalam Hadis Rasulullah s.a.w. tersebut di atas.

Untuk menentukan samada ibadat kita itu seratus persen kerana Allah
atau tidak, tanyalah diri kita sendiri secara jujur dan bukan secara
helah atau putar-belit, niscaya kita akan mendapati jawapannya yang
betul. Seterusnya, Hadis ini, walaupun ditujukan khas kepada Hatib
kerana niatnya yang telah menyeleweng dari tujuan asalnya, namun
hukumnya umum ditujukan kepada seluruh kaum Muslimin, walaupun
sebabnya yang pertama kerana Si Hatib tadi.Sebab Rasulullah s.a.w.
tidak pernah menujukan sesuatu kecelaan atau kemarahannya terhadap
seseorang yang tertentu. Bahkan pengisytiharannya sentiasa umum untuk
menjadi pengajaran kepada kaum Muslimin yang lain.Selain itu,
Rasulullah s.a.w. adalah pemalu orangnya dan tidak pernah menjatuhkan
maruah orang lain, apatah lagi untuk membocorkan rahsia orang di
hadapan khalayak ramai, itu tentulah jauh sekali.

Dipetik dari : rakan masjid

This entry was posted in Tazkirah. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s